Wanita

Wanita,
Kau suri dunia,
Kau bak bunga ditengah padang pasir,
Keindahanmu menjadi idaman semua.
Hingga tercetus perang kerananya.
Wanita,
Benarlah bak kata pepatah,
Tangan yang menghayun buaian,
Mampu menggoncang dunia,
Kerana darimulah lahirnya,
Pahlawan pejuang bangsa.
Wanita,
Benarlah bak kata pepatah,
Syurga terletak dikakimu,
Kerana dari ibu ibu,
Lahirnya ulamak pewaris ilmu.
Wanita,
Darjatmu begitu tinggi,
Senyummu satu pahala,
Taatmu satu jasa,
Kelahiran anakmu pembersih dosa,
Wanita,
Tak terkata jasamu pada umat manusia,
Kaulah racun, kaulah penawar segala,
Tanpamu tiadalah kita,
Kau ibu, kau anak, kau isteri berjasa
Kau penggerak nusa dan bangsa.
Wanita,
Kini kau semakin mengorak langkah,
Dalam arus ekonomi, kau menongkah,
Onak dan ranjau tidak kau peduli,
Biar apapun sanggup kau hadapi.
Tapi kini,
Setelah kau memajukan diri
Mengapa kau jadi begini,
Suami yang kau dahulu puji, kini kau keji,
Ayah yang dulu kau hormati, kini kau ludahi ,
Anak yang dulu kau kasihi, kini kau pijak dengan kaki.
Wanita,
Sedarlah,
Biar tinggi manapun dikau ,
Tinggi lagi kekuasaan tuhan.
Janganlah kau sesekali cuba,
Bermain dengan perintah yang maha kuasa.
Wanita,
Dulu tudungmu itu satu kewajipan,
kini hanya sekadar hiasan,
dulu kau terkenal sebagai penjahit,
kini kainmu seolah tidak berkait,
dulu suaramu sayup kedengaran,
kini suaramu tinggi mengawan.
Wanita,
Kembalilah pada asalmu,
Jadilah bak peribahasa ilmu,
Ibarat padi makin berisi makin menunduk,
Bukan kerbau menunjukkan tanduk.
Wanita,
Engkau ibu, engkau isteri,engkau suri dunia,
Buatlah keputusan dengan bijaksana,
Jangan maruahmu kau gadai,
Kelak nanti ditimpa badai,
Jangan kehormatanmu kau serah membuta tuli,
Kelak menangis darah pun takkan kembali.
Ingatlah, walaupun disebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita ,
Wujudmu tetap dari rusuknya.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home