October 10, 2004

Renungan Buat Semua


Pernahkah anda terfikir betapa istimewanya orang yang kurang siuman? Kita selalu mengejek, mengeji malah menghina orang orang sebegini tapi pernahkah kita sedar betapa hebatnya mereka? Malah mereka lebih hebat dari kita insan yang normal.

Pernahkah anda melihat orang kurang siuman makan makanan yang dipungut dari tong sampah?Terkadang saya memerhatikan tabiat orang kurang siuman. Dengan sisa makanan yang dipungut dari tong sampah ditangan dan air yang diminum dari tandas, mereka mengharungi kehidupan yang tak mampu kita sebagai insan yang sihat lakukan. Sekiranya kita memakan makanan yang disimpan selama dua hari nescaya kita akan kesakitan.namun mereka yang mencari rezeki dari sisa buangan tak pernah mengadu kesakitan. Mereka mampu berjalan, dengan hanya berkaki ayam, berpuluh kilometer sehari tanpa mengenal lelah. Mampukah kita insan yang normal melakukan semua ini? Biarpun Tuhan mengambil kewarasan dari mereka tetapi Tuhan bekalkan mereka dengan kehebatan yang lebih dari insan yang normal.

Kita menghabiskan berpuluh malah beratus ringgit untuk membeli pakaian, kasut dan sebagainya atas tujuan keselesaan dan kesihatan namun mereka yang kurang siuman tak perlu menghabiskan sesen pun untuk kesemua ini. Walau sering kehujanan, berembun dan tidur berbantalkan tangan, mereka tak pernah mengadu. Hidup mereka tak pernah dibayangi kerisauan. Kita yang tidur didalam rumah yang terlindung, dengan bertilamkan tilam yang lembut tetap menghadapi kesakitan dan kerisauan. Adakah kita terlalu lemah? Apakah bezanya antara insan yang kurang siuman dengan insan yang normal? Layakkah kita mengetawakan mereka yang begitu hebat? Fikirkanlah. Betapa daifnya kita, betapa hebat dan beruntungnya mereka. Kita yang normal ini pasti akan dihisab di Padang Mashar sedangkan mereka telah dijaminkan syurga. Layakkah kita mengetawakan mereka yang telah dijaminkan syurga sedangkan kita masih belum tentu dimana tempat kita?

Renungilah. Setiap yang terjadi ada hikmahnya. Setiap yang berlaku ada pengajaran disebaliknya. Hentikan dengan ejekan atau hinaan terhadap insan yang begitu istimewa ini. Mereka dijadikan sebegitu agar kita dapat memahami bahawa Tuhan tak pernah berlaku kejam terhadap hambanya. Mereka juga manusia. Bukan haiwan, bukan makhluk asing yang turun entah dari mana. Kita lebih sanggup memelihara binatang dan memberinya makanan yang mahal-mahal. Salahkah kiranya kita membantu golongan yang hebat ini? Layakkah kita untuk menentukan siapa insan pilihan dan siapa insan buangan? Kita bukan Tuhan dan takkan dapat menjangkau pekerjaanNya. Setiap insan, siuman ataupun kurang siuman berhak hidup di muka bumi ini. Mereka sepertimana kita mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka mempunyai tujuan dan peranan tertentu dalam kehidupan. Kenalilah mereka. Dekatilah mereka, fahami dan bantulah mereka. Mereka ini insan yang istimewa. Hentikan dan buangkan sikap ego kita, kerana sesungguhnya merekalah insan yang lebih beruntung, dunia dan akhirat.

Salam renungan buat semua.
SATIRA

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home